Kritikan Terhadap Tun Dr Mahathir

September 4, 2008 by admin

KRITIKAN TERHADAP TUN

Kritikan? Agak jarang saya keluarkan perkataan tersebut kepada seorang pemimpin yang saya sanjungi dan kagumi walaupun tak semua yang beliau lakukan semasa menjadi PM saya setuju. Tun Dr M adalah seorang pemimpin yang hebat dan punyai padangan yang amat luas. Rasanya, tak ada pemimpin lain di Malaysia yang sehebat beliau. Dahulu, kini dan selamanya….

Dalam blog, Tun ada menyatakan:

Rakyat sebenarnya mendapat Kerajaan yang padan bagi mereka, baik atau buruk. Jila mereka dapat Kerajaan yang buruk, ini adalah oleh kerana mereka tidak sanggup bertindak untuk perbetulkan keadaan, tidak sanggup ambil risiko untuk mengalih kepimpinan Kerajaan kepada yang baik.”

Sambung Tun lagi…

Dato’ Seri Abdullah sudah hancurkan UMNO, MCA, Gerakan, MIC dan BN. Gerakan bercakap tentang meninggalkan BN. MCA agak senyap tetapi pimpinannya yang sebelum ini menyokong Abdullah walau apa pun terjadi, kini sudah undur daripada menjadi pemimpin.”

Ya, Tun, saya bersetuju Pak Lah telah hancurkan UMNO dan BN. Namun untuk buat sesuatu bukanlah perkara yang mudah. Pemimpin-pemimpin yang menguasai UMNO sekarang rata-ratanya sekutu Pak Lah juga. Memandangkan pemilihan Presiden UMNO dibuat oleh perwakilan peringkat bahagian, maka agak tipis untuk menjatuhkan Pak Lah sebab undi yang akan dikira hanyalah undi sekutu-sekutu Pak Lah sahaja. Suara-suara dari grassroot tidak akan kedengaran. Kalau ada pun cuma sedikit sahaja.

Itu sebabnya saya tak bersetuju bila Tun keluar dari UMNO dahulu dan minta ahli-ahli UMNO lakukan perkara yang sama. Pak Lah memang korup dan tebal mukanya. Oleh sebab itu, beliau tidak akan peduli bila mengenangkan bahawa beliau akan dicatat dalam sejarah sebagai pemusnah UMNO bersama anak-anak dan menantunya. Apabila UMNO kalah banyak kerusi di pilihanraya yang lalu, Pak Lah seharusnya boleh melihat menerusi post-mortem bahawa terdapat banyak undi protes di buat oleh ahli-ahli UMNO dan BN terhadap kepimpinannya, tetapi beliau tetap tidak ambil peduli. Sehingga sekarang pun, beliau masih lagi tidak peduli…mungkin beliau mengharapkan kesetiaan orang melayu yang memang amat terkenal itu menyelamatkannya.

Seharusnya Tun, Datuk Mokhzani dan lain-lain kembali ke pangkuan UMNO dan bersama-sama mengembeleng tenaga bersatu menentang Pak Lah dan sekutunya. Tun pun harus sama-sama bertindak untuk menghapuskan kerajaan buruk ini. Saya rasa UMNO perlu ada hero yang sejati. Yang dihormati semua untuk menentang team kerajaan buruk yang korup dan tebal muka ini. Dengan UMNO ketandusaan pemimpin yang berkeliber, kepimpinan Tun masih diperlukan. Malah sangat-sangat diperlukan lagi.

Akhir kata dan kritikan terakhir saya, berpendapat Tun mungkin lupa semasa 21 tahun menjadi PM untuk melatih muka-muka baru agar menjadi pemimpin yang baik dan bertanggung jawab kepada bangsa, raja dan negara. Akhirnya, kita ditinggalkan bersama pemimpin-pemimpin seperti Pak Lah, Najib dan Khairy Jamaluddin. Mungkin bukan salah Tun semua ini terjadi..mungkin juga ada rahmatnya, kita pun tak tahu. Harapan saya, semoga Allah bersama-sama orang-orang

Melayu, Islam & 51 Tahun Merdeka

Ogos 31, 2008 by admin

Hari ini genap 51 tahun negara kita mencapai kemerdekaan. Seperti biasa kita bergembira menyambutnya. Pelbagai aturcara dijalankan dan tidak kurang pula yang mengambil kesempatan dari hari yang istimewa ini untuk pergi berjalan-jalan dan merehatkan fikiran.

Walaupun saya gembira menyambut Hari Merdeka namun saya rasa masih banyak yang perlu diperbaiki di negara ini. Selepas 51 tahun merdeka, banyak prasarana-prasarana telah dinaikkan. Jalanraya-jalanraya dan kemudahan awam telah juga dinaiktarafkan. Apa yang tak berubah adalah sosio politik dan ekonomi negara ini. Orang Melayu dan Islam masih memegang kuasa politik dan yang bukan Melayu dan Islam masih menguasai ekonomi negara ini. Benar kata Tun Dr Mahathir, dalam wawancara sebelum beliau meletakkan jawatannya dulu –“Katalah kita ambil Kuala Lumpur, semua yang milik Cina kita keluarkan termasuk rumah dan bangunan mereka, apa yang tinggal… Kampung Baru… itu saja.”

Sedih juga bila acapkali hal sebegini dibangkitkan, ia akan dikaitkan dengan isu perkauman. Namun, imbangan dalam ekonomi amat penting bagi mengelakkan perasaan tidak puas hati sesama kaum dan agama. Itu fakta penting yang tidak boleh dilupakan begitu sahaja. Kita boleh bermimpi tentang suatu kerajaan sempurna dengan kebebasan yang tiada terhingga, namun bila keamanan dan keharmonian tergugat, semua ini tidak bermakna lagi.

Bagi saya tidak salah mengingatkan kaum dan agama sendiri akan hal-hal sebegini. Apa-apa perubahan yang ingin dibawa oleh mana-mana parti politik kepada Perlembagaan Persekutuan, hak-hak kesitimewaan orang melayu dan Islam sebagai agama persekutuan akan sekaligus membawa implikasi yang besar buat rakyat negara ini. Pemimpin Melayu dan Islam wajar menerangkan kesan yang bakal dialami, bukan sahaja sekarang tetapi 10, 20 mahupun 30 tahun akan datang. Kita perlu bertanggungjawab kepada anak, cucu kita dan tidak boleh membiarkan sahaja nasib mereka terabai atas sikap acuh tak acuh kita itu.

Dalam masa yang sama, orang Melayu dan Islam juga hendaklah berubah bagi memperbaiki diri sendiri. Label Melayu = malas perlu dibuangkan dan sikap iri hati serta hasad dengki tidak seharusnya ada dalam diri mereka lagi. Selagi sikap-sikap sebegini masih wujud dalam diri mereka, selagi itulah mereka tidak akan ke mana. Doa dan fatihah buat tokoh-tokoh negara yang berjuang bagi kemerdekaan negara ini. Amin.

P/S : Selamat Berpuasa

Amanat Dr M

Ogos 29, 2008 by admin

Sedih bila saya baca wawancara dengan negarawan negara, Tun Dr Mahathir yang terbitkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada tahun 2002, iaitu sebelum beliau meletakkan jawatannya. Terima kasih kepada saudara JMD, yang masih menyimpan wawancara tersebut dan menerbitkannya kembali di blog beliau.

Berikut adalah sebahagian dari wawancara tersebut (Wawancara penuh boleh di baca di blog saudara JMD) :

Apakah sikap dan unsur-unsur negatif di kalangan orang Melayu?

DR. MAHATHIR: Umpamanya, ramai yang suka mencari jalan mudah untuk menjayakan sesuatu, walaupun jalan yang mudah itu akan membawa akibat buruk dalam jangka panjang. Tidak ada yang serius untuk berusaha. Kita dapati di kalangan penuntut Melayu, walaupun jumlahnya ramai kerana jumlah orang Melayu juga telah meningkat, tetapi keinginan untuk mengejar ilmu agak berkurangan, terutama di kalangan penuntut lelaki.

Dalam bidang perniagaan ada yang betul-betul berusaha dan mencapai kejayaan tetapi lebih ramai yang hanya nampak peluang daripada lesen ataupun kontrak yang diberi oleh kerajaan untuk dijual kepada orang lain.

atuk Seri menyebut tentang kegagalan mencapai matlamat DEB. Banyak mana yang dapat dicapai?

DR. MAHATHIR: Dulu kita capai sampai 20 peratus tetapi sekarang berkurangan hingga kepada 19 peratus. Daripada 19 peratus itu, 17 peratus adalah yang dimiliki oleh institusi-institusi bumiputera yang diurus oleh kerajaan, bumiputera sendiri cuma memiliki dua peratus. Bukan kerana kita tidak beri, kalau hendak dikira jumlah yang kita beri kepada bumiputera lebih daripada 30 peratus. Tetapi hampir semuanya dijual. Sebab itu kita tidak dapat mencapai matlamat. Sebab orang kita hendak cepat dapat duit. Kalau jual boleh dapat duit cepat. Kalau simpan, tidak merasa.

Matlamat DEB gagal dicapai walaupun sesudah 30 tahun. Ertinya, dasar diskriminasi positif pun gagal mengubah orang Melayu. Jadi, apa yang perlu dibuat?

DR. MAHATHIR: Itu orang Melayu patut tanya pada diri mereka sendiri, apa yang patut mereka buat. Saya sudah tunjuk apa yang patut mereka buat, tapi mereka masih juga hendakkan tongkat, hendak subsidi, hendak diberi keistimewaan.

Datuk Seri, kalau kita tarik balik subsidi dan hak istimewa itu, apakah orang Melayu akan mengubah sikap mereka?

DR. MAHATHIR: Itu kita sudah kata, umpamanya kita hendak benarkan 10 peratus bukan Melayu ke dalam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan program matrikulasi, itu pun orang kita tak sanggup. Kita hendak dikelilingi dengan satu kubu supaya orang lain tidak boleh masuk. Esok, kalau kita kena keluar dari kubu kita, kita tak boleh berperang dengan orang.

Mengapa orang Melayu masih belum bersedia menghadapi perubahan?

DR. MAHATHIR: Saya nampak satu daripada masalahnya ialah politik. Ada orang apabila kita hendak buat perkara yang betul, maka mereka akan ancam melalui politik supaya jangan menyokong kerajaan.

Dalam politik demokrasi ini, begitulah. Bila kita hendak buat perkara yang betul, yang baik dan yang sakit sikit, ada orang berkata, ini sebahagian daripada isu politik.

Umpamanya sudah lama saya suruh orang kita belajar bahasa Inggeris, bukan (tujuan) hendak ganti bahasa Melayu, cuma hendak belajar bahasa Inggeris. Tetapi hal ini dijadikan isu yang cukup besar hingga kita tidak dapat laksanakan.

Hari ini, kita baru sedar bahawa bahasa Inggeris itu penting. Demikian juga dengan ilmu-ilmu lain yang saya sudah desak lama, lebih kurang 30 tahun dulu supaya belajar ilmu-ilmu lain itu, tetapi ada yang kata itu sekular, politik. Yang dahsyat sekali Pas. Pas tunggu saja bila kita buat sesuatu, ia jadikan isu supaya perkara yang baik ini tidak tercapai.

Jadi apa yang silap dengan orang kita, Datuk Seri?

DR. MAHATHIR: Saya anggap itu sudah menjadi satu budaya bagi kita. Kalau kita lihat ke tapak projek, kita harus tanya pada diri kita, kenapa tidak ada seorang pun Melayu yang bekerja dalam projek pembinaan. Apakah orang Melayu berbeza dengan orang Jawa, orang Sumatera yang bekerja kuat di situ. Mereka kerja sampai malam. Takkan kerana kulit kita coklat seperti ini, maka kita tak boleh buat kerja.

Itu budaya kita. Kita tak tahu susah, hendak senang selalu. Kalau naik tinggi sedikit, sudah gayat. Kerja lama sikit – letih, lenguh sampai tak boleh tidur. Saya selalu pergi melawat ke tempat tapak projek, saya lihat ada orang Indonesia, orang Cina, orang India, tapi orang Melayu tidak ada. Kalau kita lihat di situ kita tidak tahu ini Malaysia, negara orang Melayu. Kita ingat ini negara asing.

Ternyata orang Melayu masih menghadapi masalah besar. Boleh Datuk Seri sebutkan tiga saja masalah orang Melayu yang Datuk Seri anggap paling besar?

DR. MAHATHIR: Yang pertama, tidak sanggup untuk bekerja keras, tidak sanggup belajar bersungguh-sungguh. Tidak sanggup membuat sesuatu dengan bersungguh-sungguh.

Yang kedua, bila ada saja sesuatu perkara atau isu berlaku, kita sudah lupa tentang isu sebelum itu. Bila kita asyik tumpu pada isu itu maka kita berkelahi sesama sendiri. Ini balik kepada Melayu mudah lupa.

Yang ketiganya, apabila kita dapat sesuatu, kita tidak begitu menghargainya. Umpamanya kita dapat banyak bantuan subsidi, kalau diguna dengan baik kita akan dapat banyak untung, tetapi kita tidak gunakannya dengan baik.

Datuk Seri percaya orang Melayu sudah bersedia untuk bersaing tanpa perlindungan kerajaan?

DR. MAHATHIR: Kalau mereka tidak dicuba, sampai bila-bila pun kita tidak akan tahu.

Dengan lain perkataan, akan sampai satu masa kelak di mana hak ini akan dihapuskan.

DR. MAHATHIR: Kalau kita sudah jadi kaya, boleh beli harta Cina dan orang lain semuanya, kita lebih pandai daripada Cina, kalau kita masuk dalam pertandingan kita menang, apa perlunya hak istimewa orang Melayu. Orang Cina di Malaysia tidak ada hak istimewa. Mereka menghadapi diskriminasi. Tetapi mereka lebih berjaya daripada kita.

Pada fikiran Datuk Seri, kenapa orang Melayu begitu bimbang akan kehilangan hak istimewa ini?

DR. MAHATHIR: Mereka tidak ada keyakinan. Sebab itu saya minta mereka lihat bagaimana (Datuk) Azhar Mansor belayar seorang diri keliling dunia. Bila orang Melayu jumpa dia, mereka tanya dia pakai ilmu apa, mereka ingat Azhar boleh dapat ilmu ajaib yang boleh bawa dia keliling dunia.

Jika tidak ada lagi hak istimewa Melayu, apakah kita kembali seperti Malayan Union yang UMNO tentang dahulu?

DR. MAHATHIR: Kita tentang Malayan Union dulu kerana mereka beri semua sama rata pada waktu orang Melayu cukup lemah. Dalam keadaan Melayu begitu lemah, mereka akan hilang semua. Sekarang bukan kita hendak beri semua. Kita cuma beri 10 peratus saja, supaya dengan itu orang Melayu dapat uji kebolehannya.

Saya ada bercakap dengan Kolej Tunku Abdul Rahman (Kolej TAR), sebab apa tidak masukkan orang Melayu. Mereka kata ia terbuka, bila-bila masa mereka boleh masuk. Kita sediakan mereka biasiswa tetapi budak Melayu tidak mahu pergi ke Kolej TAR. Sebab apa, Cina banyak sangat dan mereka pandai-pandai pula. Tak ada permohonan Melayu ke Kolej TAR. Orang India ada juga mohon, tapi Melayu tidak mahu.

Pemuda UMNO ada membuat sedikit penyelidikan yang antara sebab Melayu tidak mahu belajar di IPTS kerana pertama tiada surau untuk bersembahyang dan satu lagi soal makanan, takut makanan yang dijual bukan halal.

DR. MAHATHIR: Kalau begitu tidak perlu pergi belajar ke luar negara. Kalau kita pergi England, takkan mereka sediakan surau di dalam Universiti Cambridge, di Universiti Nottingham. Boleh kita tentukan makanan semuanya disembelih, mereka tidak makan babi? Apa lagi alasan yang hendak kita beri?

Dasar 10 peratus kepada bukan bumiputera. Bolehkah Datuk Seri beri satu jaminan bahawa ia akan kekal 10 peratus?

DR. MAHATHIR: Bukan saya yang boleh beri jaminan. Ini untuk masa depan. Mengenai masa depan ini saya tidak tahu. Saya mungkin tiada lagi.

Apakah harapan Datuk Seri kepada ahli-ahli UMNO menjelang perhimpunan kali ini selepas Datuk Seri memimpin selama 21 tahun?

DR. MAHATHIR: Saya gagal (ketawa sinis). Saya gagal mencapai perkara yang lebih penting – bagaimana hendak mengubah orang Melayu. UMNO pun kadang-kadang menjadi rosak kerana terlampau berebut hendak dapatkan tempat sampai sanggup kalau tidak dapat tempat, bagi orang UMNO kalah.

Tidakkah itu satu kenyataan yang penuh kekecewaan?

DR. MAHATHIR: Tak tahulah… nak kata kecewa. Tapi saya bercakap berkenaan benda yang benar dan nyata. Saya tidak suka berselindung. Saya tidak suka menjadi begitu diplomatik. Saya kata apa yang saya fikir benar. Kalau orang kata tidak benar, tidak apalah. Tapi ini yang saya rasa dan lihat.

Katalah jam dapat diputar ke belakang dan Datuk Seri berada pada 28 Jun 1981, hari pertama Datuk Seri menjadi Presiden UMNO. Apa yang akan Datuk Seri lakukan?

Dr. Mahathir: Saya mahu jadi ahli biasa sahaja (sekali lagi ketawa sinis). Sebab saya tak boleh buat apa-apa (untuk mengubah orang Melayu).

Anwar Ibrahim Kembali Ke Parlimen

Ogos 28, 2008 by admin

Selepas satu dekad akhirnya, Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen. Cuma kali ini bukan sebagai wakil kerajaan tetapi sebagai Ketua Pembangkang. Agak ironis sekali. Jika dulu beliau bertekak dengan Karpal Singh, Lim Kit Siang dan Hj. Hadi Awang, sekarang beliau bersekutu dengan mereka pula. Biasalah politik – macam EPL juga, ada transfer-transfer.

Kemenangan beliau di Permatang Pauh memang sudah dijangka. Yang ditunggu hanyalah jumlah majoriti yang diperolehi. Ia sedikit sebanyak menggambarkan sejauh mana pengaruh Anwar sudah berkembang dan sejauh mana kerajaan BN telah “progress” semenjak dari 8hb Mac 2008 yang lalu.

Walau apa pun hujah yang ditimbulkan oleh pembangkang, demokrasi memang diamalkan di negara ini. Sebarang kelemahan dalam cara penyelengaraan oleh SPR bukanlah alasan untuk mempertikaikan amalan demokrasi di negara ini. Konflik dan isu berada di mana sahaja – di rumah, di pejabat mahupun di tempat-tempat awam. Tiada siapa yang yang boleh katakan dirinya sempurna. Dalam hal pilihanraya, sebarang keraguan haruslah diselesaikan secara profesional melalui aturan yang diperuntukan dan bukannya dengan cara yang tidak sopan dan mengikut emosi sahaja.

Suatu budaya yang menakutkan yang timbul di negara ini adalah sikap kurang ajar dan kasar penyokong-penyokong parti politik. Tak perlulah saya menuding penyokong mana. Siapa yang makan cili, rasalah pedasnya. Kita di negara ini semuanya bersaudara – saudara seMalaysia. Tak perlulah nak marah-marah dan lepaskan perasaan yang melebih-lebih. Rambut sama hitam, hati lain-lain, kalau ada saudara lain nak sokong team lain, tak perlulah nak berbaling-baling pulak. Hormatilah pilihan saudara kita itu. Kalau nak berdebat, debat cara baik-baik. Tak perlu nak memaki hamun atau guna perkataan kasar. Kita dah lama merdeka, patut minda pun sudah intelek dan boleh berfikir dengan cara yang intelek juga.

Kemasukkan Anwar dalam Parlimen pastinya menambah tekanan pada Pak Lah yang pimpinannya diragui bukan sahaja oleh pembangkang tetapi ahli-ahli Barisan Nasional sekali. Bagi pemerhati politik, senario politik negara berada dalam keadaan yang amat menarik sekali untuk 2 – 3 bulan akan datang. Bagi saya, doa untuk negara tercinta – keamanan dan harmoni berkekalan dalam krisis paling teruk yang pernah saya lihat semenjak saya dilahirkan di bumi tercinta ini. Allah,lindungilah negara ku ini. Amin.