Selepas satu dekad akhirnya, Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen. Cuma kali ini bukan sebagai wakil kerajaan tetapi sebagai Ketua Pembangkang. Agak ironis sekali. Jika dulu beliau bertekak dengan Karpal Singh, Lim Kit Siang dan Hj. Hadi Awang, sekarang beliau bersekutu dengan mereka pula. Biasalah politik – macam EPL juga, ada transfer-transfer.
Kemenangan beliau di Permatang Pauh memang sudah dijangka. Yang ditunggu hanyalah jumlah majoriti yang diperolehi. Ia sedikit sebanyak menggambarkan sejauh mana pengaruh Anwar sudah berkembang dan sejauh mana kerajaan BN telah “progress” semenjak dari 8hb Mac 2008 yang lalu.
Walau apa pun hujah yang ditimbulkan oleh pembangkang, demokrasi memang diamalkan di negara ini. Sebarang kelemahan dalam cara penyelengaraan oleh SPR bukanlah alasan untuk mempertikaikan amalan demokrasi di negara ini. Konflik dan isu berada di mana sahaja – di rumah, di pejabat mahupun di tempat-tempat awam. Tiada siapa yang yang boleh katakan dirinya sempurna. Dalam hal pilihanraya, sebarang keraguan haruslah diselesaikan secara profesional melalui aturan yang diperuntukan dan bukannya dengan cara yang tidak sopan dan mengikut emosi sahaja.
Suatu budaya yang menakutkan yang timbul di negara ini adalah sikap kurang ajar dan kasar penyokong-penyokong parti politik. Tak perlulah saya menuding penyokong mana. Siapa yang makan cili, rasalah pedasnya. Kita di negara ini semuanya bersaudara – saudara seMalaysia. Tak perlulah nak marah-marah dan lepaskan perasaan yang melebih-lebih. Rambut sama hitam, hati lain-lain, kalau ada saudara lain nak sokong team lain, tak perlulah nak berbaling-baling pulak. Hormatilah pilihan saudara kita itu. Kalau nak berdebat, debat cara baik-baik. Tak perlu nak memaki hamun atau guna perkataan kasar. Kita dah lama merdeka, patut minda pun sudah intelek dan boleh berfikir dengan cara yang intelek juga.
Kemasukkan Anwar dalam Parlimen pastinya menambah tekanan pada Pak Lah yang pimpinannya diragui bukan sahaja oleh pembangkang tetapi ahli-ahli Barisan Nasional sekali. Bagi pemerhati politik, senario politik negara berada dalam keadaan yang amat menarik sekali untuk 2 – 3 bulan akan datang. Bagi saya, doa untuk negara tercinta – keamanan dan harmoni berkekalan dalam krisis paling teruk yang pernah saya lihat semenjak saya dilahirkan di bumi tercinta ini. Allah,lindungilah negara ku ini. Amin.
Label: Anwar Ibrahim, BN, Pak Lah, Permatang Pauh, PKR