Hari ini genap 51 tahun negara kita mencapai kemerdekaan. Seperti biasa kita bergembira menyambutnya. Pelbagai aturcara dijalankan dan tidak kurang pula yang mengambil kesempatan dari hari yang istimewa ini untuk pergi berjalan-jalan dan merehatkan fikiran.
Walaupun saya gembira menyambut Hari Merdeka namun saya rasa masih banyak yang perlu diperbaiki di negara ini. Selepas 51 tahun merdeka, banyak prasarana-prasarana telah dinaikkan. Jalanraya-jalanraya dan kemudahan awam telah juga dinaiktarafkan. Apa yang tak berubah adalah sosio politik dan ekonomi negara ini. Orang Melayu dan Islam masih memegang kuasa politik dan yang bukan Melayu dan Islam masih menguasai ekonomi negara ini. Benar kata Tun Dr Mahathir, dalam wawancara sebelum beliau meletakkan jawatannya dulu –“Katalah kita ambil Kuala Lumpur, semua yang milik Cina kita keluarkan termasuk rumah dan bangunan mereka, apa yang tinggal… Kampung Baru… itu saja.”
Sedih juga bila acapkali hal sebegini dibangkitkan, ia akan dikaitkan dengan isu perkauman. Namun, imbangan dalam ekonomi amat penting bagi mengelakkan perasaan tidak puas hati sesama kaum dan agama. Itu fakta penting yang tidak boleh dilupakan begitu sahaja. Kita boleh bermimpi tentang suatu kerajaan sempurna dengan kebebasan yang tiada terhingga, namun bila keamanan dan keharmonian tergugat, semua ini tidak bermakna lagi.
Bagi saya tidak salah mengingatkan kaum dan agama sendiri akan hal-hal sebegini. Apa-apa perubahan yang ingin dibawa oleh mana-mana parti politik kepada Perlembagaan Persekutuan, hak-hak kesitimewaan orang melayu dan Islam sebagai agama persekutuan akan sekaligus membawa implikasi yang besar buat rakyat negara ini. Pemimpin Melayu dan Islam wajar menerangkan kesan yang bakal dialami, bukan sahaja sekarang tetapi 10, 20 mahupun 30 tahun akan datang. Kita perlu bertanggungjawab kepada anak, cucu kita dan tidak boleh membiarkan sahaja nasib mereka terabai atas sikap acuh tak acuh kita itu.
Dalam masa yang sama, orang Melayu dan Islam juga hendaklah berubah bagi memperbaiki diri sendiri. Label Melayu = malas perlu dibuangkan dan sikap iri hati serta hasad dengki tidak seharusnya ada dalam diri mereka lagi. Selagi sikap-sikap sebegini masih wujud dalam diri mereka, selagi itulah mereka tidak akan ke mana. Doa dan fatihah buat tokoh-tokoh negara yang berjuang bagi kemerdekaan negara ini. Amin.
P/S : Selamat Berpuasa